SISTEM BEKERJA WAKIL RAKYAT
Gemasindah ingin mengulas rencana Dato’ Salleh Majid ( DSM ) yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini Sabtu 27hb Mac 2010 ( yang telah gemasindah masukkan dalam blog ini untuk renungan pembaca. )
Perkara yang ingin diulas ialah kenyataan DSM berkaitan ramai wakil rakyat tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan rakyat seperti yang sepatutnya. Pada hemat gemasindah hal ini selain dari sebab yang dinyatakan oleh DSM juga adalah disebabkan wakil rakyat itu tidak ada cara bekerja yang tersusun dan teratur. Cara bekerjanya, tiada pengawasan terus melainkan penilaian pimpinan parti atau penilaian rakyat semasa pengundian pilihanraya.
Perlulah sasaorang wakil rakyat itu sentiasa ingat bahawa Wakil Rakyat dibayar gaji yang dipanggil sebagai Elaun Wakil Rakyat disamping bayaran perjalanan, elaun penginapan dan sebagainya seperti pegawai kerajaan juga.
Wang yang digunakan untuk membayar elaun ini ialah wang rakyat hasil bayaran pelbagai jenis cukai secara langsung dan tidak langsung. Maksudnya majikan sebenar sasaorang wakil rakyat itu, tidak kira sama-ada dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang ialah rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Tugas utama sasaorang wakil rakyat itu ialah berkhidmat kepada rakyat. Tugas ini ditempah sendiri oleh wakil rakyat itu kerana dia sendiri yang rela dan mahu untuk menjadi wakil rakyat…tiada yang memaksanya. Jadi sekiranya sasaorang wakil rakyat itu gagal atau tidak peduli atau memberi perkhidmatan yang teruk kepada rakyat yang diwakilinya , bolehlah kita katakan wakil rakyat itu MAKAN GAJI buta sahaja, dan boleh dipertikaikan halal dan haramnya.
Kakitangan kerajaan bekerja mengikut Amalan Kerja ( standard working procedure ) yang tersusun dan teratur yang diwarisi dizaman British dulu dan sentiasa diperkemaskini dari masa kesemasa baik dari segi sistem mahupun dari segi bidang pengawasan dan penilaian. Hasilnya boleh kita katakan kita ada sistem bekerja yang agak baik juga.
Dari segi sistem contohnya unit yang paling bawah ialah Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampong ( JKKK atau JKKR di Felda ) dimana ahli jawatankuasanya diketuai oleh Ketua Kampong dan dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat dikampong itu termasuk golongan belia. Masaalah yang dihadapi oleh penduduk kampong ( peringkat rakyat terendah ) dibincang dalam mesyuarat JKK yang lazimnya diadakan sebulan sekali.
Selalunya mesyuarat JKK ini dihadiri oleh kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi walaupun banyak jabatan menghantar wakil yang tidak diberi kuasa membuat keputusan. Wakil rakyat juga dijemput menghadiri mesyuarat JKK ini tetapi jarang sekali dilihat kehadirannya atau wakilnya. Mesyuarat ini adalah rasmi dimana segala yang dibincang diminitkan dan mesyuarat dijalankan berpandukan minit minit mesyuarat terdahulu. Adalah menjadi tanggungjawab wakil wakil kerajaan menyelesaikan apa jua masalah yang ditimbulkan oleh rakyat kampong tersebut pada peringkat jabatannya atau jika tidak dapat diselesai kepada peringkat yang lebih tinggi. ( selalunya ini tidak diambil tindakan – hasilnya banyak masalah rakyat lambat diselesaikan )
Diperingkat daerah pula diadakan sekurang-kurang dua mesyuarat rasmi dimana wakil wakil rakyat baik diperingkat ADUN mahupun parlimen menjadi ahli jawatankuasa mesyuarat. Pertama mesyuarat tindakan daerah, kedua mesyuarat jawatankuasa kemajuan / ekonomi daerah yang diadakan sebulan sekali. Apa jua masalah dan keputusan daerah dibincang pula diperingkat negeri melalui mesyuarat tindakan negeri dimana pegawai pegawai daerah menjadi ahli mewakili daerah masing masing. Selalunya mesyuarat diperingkat negeri dipengerusikan oleh Menteri Besar sendiri.
Kenapakah wakil wakil rakyat kita tidak meniru sistem teratur yang diamalkan diperingkat pentadbiran untuk menguruskan kerja yang diamanahkan kepada mereka.
Perkara ini boleh dilihat dari dua sudut – pertama dari sudut pentadbiran urusan rakyat menjadikan ketua kampong sebagai ahlinya , kedua dari sudut parti UMNO menjadikan ketua ketua cawangan, ketua sayap parti wanita , pemuda dan puteri sebagai ahlinya. Jika mahu boleh juga diadakan mesyuarat yang serupa bentuknya dengan badan badan bukan kerajaan yang ada dikawasan masing masing.
Sasaorang wakil rakyat kawasan( ADUN ) khasnya wajarlah menginstitusikan cara bekerjanya dengan rakyat supaya masalah masalah rakyat setempat dan semasa dapat diketahui secara rasmi melalui ketua kampong dan ketua ketua parti diperingkat akar umbi. Melalui mesyuarat yang teratur ini wakil rakyat tersebut dapat mengetahui masalah, dapat berbincang cara selesaikan masalah dan dapat juga memberi arahan dan nasihat kepada rakyat melalui ketua ketua mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut.
Banyak kebaikan dan faedah boleh diraih. Pertama ianya menjimatkan masa kerana didalam sesuatu DUN itu banyak kampong kampong yang berkemungkinan besar wakil rakyat yang rajin pun tidak dapat lawati kesemuanya..Kalaupun dilakukan secara spontan…bagaimana caranya wakil rakyat itu dapat mengetahui rintihan rakyat,,..nak singgah disetiap kedai kopi ke disetiap sekolah ke ? Lawatan ke kampong boleh dilakukan dari segi melihat sendiri apa jua masalah yang dihadapi dan dimaklumkan didalam mesyuarat. Jadi jelaslah ksud dan tujuan lawatan itu.
Kedua mesyuarat tersebut boleh dijadikan medan komunikasi antara wakil rakyat dan pemimpin akar umbi ketua dimedan hadapan ..peperangan ..umpama perbincangan kapten dengan prebet didalam platunnya. Ianya memberi peluang kepada rakyat meluahkan rasa hati mereka, peluang mencadangkan apa yang patut dilakukan untuk kebaikan rakyat setempat dan sebagainya.
Wakil rakyat yang cerdik dan berpengalaman sewajarnya tahu bagaimana cara rancangannya dapat dilakasana dan dilakukan secara memasukkan kata-katanya sendiri kemulut ahli jawatankuasanya sehingga ahli merasakan apa yang dilakukan oleh wakil mereka adalah hasil cadangan bernas mereka.
Wakil rakyat yang bijaksana juga sewajarnya tahu menggunakan mesyuarat tersebut untuk memberi arahan kepada networking pentadbiran dan networking partinya agar khidmatnya sebagai wakil rakyat dapt dirasakan dalam nadi kehidupan rakyatnya.
Mesyuarat juga boleh digunakan untuk merangka dasar , membuat rancangan tersusun baik pentadbiran mahupun politik dimana jentera pentadbiran dan parti dapat diguna sepenuhnya bagi melaksanakan rancangan yang telah disusun.
Akhirnya dengan cara mesyuarat ini wakil rakyat dapat memberi penghargaan kepada ketua ketua kampong dan ketua ketua cawangan akan sumbangan masing masing. Dari segi saikologi ia akan membuatkan sasaorang itu lebih kuat bekerja dan rela berkorban.
Hanya sebuah cadangan yang tidak seberapanya untuk difikirkan oleh wakil rakyat dan lain lain yg berkenaan spt ketua kampong, ketua cwgn, ketua wanita , pemuda dan puteri. Selamat berkhidmat ….dan berjuang …..
Gemasindah….dulu pernah juga mentadbir sebuah organisasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan