sila juga layari http://fakirabdillah.webs.com ....MELAYU DULU ...BARU 1 MALAYSIA Bagaikan Burung Yang Patah Sayap Bertongkatkan Paruh Ku Terbang Jua....
Jumaat, 4 Februari 2011
Ancaman liberalisme dan pluralisme........
Oleh HJ ZAMIHAN HJ MD ZIN AL-GHARI
Artikel dipetik dari lamanblog ummatan wasatan.
Latarbelakang
Nabi s.a.w telah mengingatkan kita tentang kemunculan pelbagai fitnah pada akhir zaman. Hal ini terbukti apabila kita menelusuri kitab-kitab hadis yang memuatkan pelbagai karenah fitnah sama ada bermula sekecil-kecil fitnah sehinggalah menumpahkan darah. Walau apapun fitnah yang melanda, pegangan yang bersumberkan kepada petunjuk al-Quran, al-Sunnah serta bimbingan ulama ahli al-Bayt sentiasa berdiri di atas kebenaran. Hal ini jelas sebagaimana jaminan Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian dua pusaka. Pertamanya, Kitab Allah. Padanya terdapat petunjuk dan cahaya. Ambillah dan berpeganglah dengannya. Dan (keduanya) ialah sanak saudara keturunanku. Semoga Allah mengingatkan kamu terhadap kaum keluargaku…”(1)
Selain itu, terdapat juga hadis lain menuntut kita supaya mengikuti autoriti al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pegangan utama. Bahkan kewujudan golongan yang membela agama juga sentiasa mengatasi apa jua bentuk kesesatan, keadaan dan cabaran yang mendatang. Lebih meyakinkan kita bahawa Allah sendiri memberi jaminan bahawa agama Islam ini tetap teguh terpelihara walaupun cuba diancam dan diserang oleh musuh-musuhnya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan ucapan mereka. Dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir membencinya.”(2)
Walaupun kemunculan fahaman sesat sering berlaku setiap zaman, namun kita perlu menyedari bahawa ancaman pada zaman ini bukan sekadar berhadapan dengan kesesatan aliran pemikiran tauhid dan metafizik Yunani. Akan tetapi, kita sebenarnya berhadapan dengan aliran pemikiran moden yang berjaya mensinonimkan Islam dengan falsafah pemikiran Barat. Tuntasnya, mereka mengaku beragama Islam dan mengamalkan isi kandungannya akan tetapi menurut perspektif Barat. Sedarlah, firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Orang-orang kafir itu merancang tipu daya. Dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.”(3)
Pengenalan Islam Liberal dan Pluralisme
Fahaman Islam Liberal merupakan satu fahaman yang berteraskan prinsip kebebasan individu tanpa sempadan. Fahaman ini muncul pada kurun ke-16 dan ke-17 ketika zaman Renaissance, iaitu zaman golongan intelektual menyerang penyelewengan pihak gereja.
Zaman itu, agama Kristian di kawal oleh Roman Katholik. Pihak gerja berkuasa penuh dalam menafsirkan Injil. Manakala orang awam tidak sesekali dibenarkan untuk menafsirkannya. Mereka yang didapati menentang akan disiksa dengan pelbagai bentuk siksaan. Akibatnya, muncul pelbagai mazhab dalam Kristian seperti Protestant, Anglican, Prebisyterian, Lutheran, dan lain-lain.
Pendapat ini mempunyai jurang perbezaan yang luas antara satu sama lain sehingga menjelmakan kaedah “kebenaran itu tidak selamanya benar dan perlu dinilai semula”. Tindakan ini benar-benar menjadikan Injil sebagai unsur manusia. Iaitu masing-masing memahami Injil dengan bahasa dan tafsiran sendiri. Oleh hal yang demikian itu, pengolahan dan penggubahan dalam memahaminya terus berlaku apabila dirasakan intisarinya tidak releven lagi dengan keadaan semasa. Rentetan daripada idea di atas, muncul pula John Hick mempelopori pendapat bahawa semua agama boleh diterima kerana tujuannya yang satu. Cuma cara dan pendekatan sahaja yang berbeza. Maka lahirlah apa yang dinamakan pluralisme.
Apabila menyedari serangan fizikal tidak mampu menggugat umat Islam, maka timbulnya alternatif baru untuk menyerang Islam dari dalam, iaitu menerusi serangan pemikiran. Maka pihak Barat yang diterajui Yahudi dan Kristian berusaha menggali ilmu Islam dan mengkaji sumbernya serta mencari apa jua kelemahan umat Islam yang boleh diserang. Akhirnya, mereka menubuhkan bahagian pengajian Islam di universiti-universiti di Eropah dengan ‘menggula-gulakan’ beberapa ulama sebagai pensyarah jemputan bagi menarik minat umat Islam mendapat pendidikan di sana. Apa yang penting bagi mereka ialah ‘racun’ pemikiran yang dihidangkan dapat ditelan dengan sempurna.
Lantaran itu, tidak hairanlah kita dikejutkan dengan kemunculan golongan Jamaah al-Quran Malaysia (JAM) yang dipelopori oleh Kassim Ahmad dan Osman Ali suatu waktu dahulu. Mereka begitu gigih mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran dengan pengolahan yang baru. Dalam masa yang sama mereka cuba menilai kembali kedudukan al-Hadis. Mereka sebenarnya adalah anti hadis.
Mutakhir ini, muncul pula Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia yang dipimpin oleh Ulil Absar Abdullah. Kerancakan pemikiran ini seterusnya merebak ke negara kita setelah pengharaman fahaman ini di buat oleh Majlis Ulamak Islam Indonesia (MUI). Maka lahirlah fahaman-fahaman yang senada dan seirama dengan pemikiran Ulil Absar oleh beberapa individu seperti Farish A. Noor(4), Akbar Ali(5), Zainah Anwar(6) yang menunjangi Sister In Islam (SIS). Walaupun tidak segagah gelora kemunculan Islam Liberal di Indonesia (JIL), namun dalam beberapa hal mereka dilihat begitu agresif mengkritik dan mencabar kedudukan agama Islam itu sendiri dengan pelbagai gaya dan ruang. Maka perhatilah dengan sebaik-baiknya
Definisi Islam Liberal
Sebelum metodologi Islam Liberal dibongkar dengan lebih mendalam, sayugianya definisi terhadap Islam Liberal perlu diambil kira supaya semua pihak jelas dengan maksud tersurat dan tersirat di sebalik penjenamaannya. Dalam kes ini, penulis cuba memecahkan definisi kepada dua komponen utama. Iaitu :
Lafaz Islam Liberal:
Perkataan Islam Liberal sebenarnya terdiri dari dua cantuman lafaz yang berbeza, iaitu antara lafaz Islam dan lafaz Liberal. Islam dari sudut bahasa bermaksud taat dan patuh, menyerah diri dan selamat. Manakala dari sudut istilahnya pula Islam merujuk kepada satu cara hidup yang perkenankan oleh Allah melalui syariat-Nya yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w untuk seluruh manusia dan jin. Ternyata lafaz Islam begitu harmoni dengan kehidupan insani.
Menurut kamus Dewan, Liberal bermaksud condong kepada kebebasan dan fahaman yang demokratik atau berfahaman bebas. Ia juga dimaksudkan dengan bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka Iaitu tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya.(7) Lafaz ini membuka seluas-luasnya ruang kepada akal dan nafsu untuk menerawang kebebasan mutlak. Ternyata cantuman lafaz dan pengertiannya terlalu sembrono.
Maksud Islam Liberal:
Apabila kita mengakses laman web Jaringan Islam Liberal, didapati mereka menafsirkan maksud liberal seperti berikut (catatan: diturunkan petikan tanpa dilakukan penyuntingan daripada teks asal): “Nama “Islam liberal” menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anut, yaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur sosial-politik yang menindas. “Liberal” di sini bermakna dua: kebebasan dan pembebasan.
Kami percaya bahwa Islam selalu dilekati kata sifat, sebab pada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeda-beda sesuai dengan kebutuhan penafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsir, dan dengan demikian satu kata sifat terhadap Islam, yaitu “liberal”. Untuk mewujudkan Islam Liberal, kami membentuk Jaringan Islam Liberal (JIL).”(8) Demikian tafsiran dan alasan mereka.
Berdasarkan kepada tafsiran ini dapatlah disimpulkan bahawa Islam Liberal bermaksud sekumpulan golongan(9) yang memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional yang bersifat menyeluruh tanpa sebarang had.
Sebenarnya, mereka mencipta istilah ini bagi membuktikan bahawa kononnya golongan merekalah yang memperjuangkan keterbukaan dan kebebasan yang sebenar. Sedangkan mereka menuntut satu kebebasan yang melampaui batasan syariat Islam itu sendiri, iaitu kebebasan dalam memberikan pandangan secara terbuka yang tidak terikat kepada pemikiran Islam bahkan melebihi had ajaran Islam itu sendiri. Sedangkan Islam mempunyai prinsip al-Hurriyyah yang tersendiri berasaskan wahyu.
Apa yang dituntut oleh golongan Islam Liberal ialah al-Hurriyyah al-Fikriyyah wa al-I’tiqadiyyah, iaitu satu konsep kepercayaan yang mengatakan tiap-tiap individu mesti diberi kebebasan (supreme importance) dalam kehidupan sosial. Suara dan hak kebebasan ini cuba diperoleh mereka melalui prinsip peluang sama rata (equality of opportunity). Mereka berpendapat semua orang memiliki hak mutlak untuk memerintah, mencari harta, bercakap dan mengemukakan kepentingan masing-masing.
Kita melihat, apabila kedua lafaz yang berbeza ini (Islam – Liberal) cuba disatukan maka ia membawa cantuman yang songsang. Bahkan saling bertentangan antara kedua lafaz tersebut. Justeru didapati bahawa lafaz sebegini tidak pernah digunakan dalam bahasa arab. Malah penggunaan tidak berpijak kepada sebarang dalil bahasa. Bahkan pertentangan maksud antara kedua lafaz ini memberikan kita satu petunjuk bahawa lafaz ini sengaja direka bagi membebaskan Islam dari keterikatan sumbernya.
Situasi ini dilihat cuba menjatuhkan imej Islam itu sendiri. Maka sebarang rekaan yang tidak berpaksikan kepada dalil agama bahkan bertentangan dengan dalil-dalilnya merupakan satu bidaah yang sesat lagi menyesatkan.
Jelas kepada kita bahawa istilah Islam Liberal merupakan istilah rekaan yang menyimpang daripada landasan Islam. kedudukan istilah bagi melambangkan kebebasan yang mutlak sebenarnya bertentangan dengan Islam yang menghadkan kebebasan berasaskan prinsip-prinsipnya yang tertentu. Berdasarkan kepada tafsiran dan alasan mereka juga dapatlah dirumuskan bahawa sandaran liberal kepada Islam merupakan sandaran kosmetik belaka. Hakikatnya perjuangan mereka mempunyai racun yang berbisa.
Klasifikasi Islam Liberal:
Secara umumnya, terdapat dua jenis liberal, iaitu liberal yang bercorak klasik dan moden. Liberal klasik lebih menekankan hak asasi dan undang-undang semulajadi merangkumi moral, politik, ekonomi, dan sosial. Manakala liberal moden lebih menekankan dasar-dasar awam melalui pengalaman, penelitian, dan praktis. Sistem liberal moden selalu menumpang dalam corak pemerintahan demokrasi. Manakala liberal klasik pula lebih bersikap konservatif yang membantah pengawalan kerajaan dalam aktiviti ekonomi.
Paling tuntas, status Islam liberal semuanya menyeleweng sama ada liberal klasik mahupun moden kerana ideologi yang diperjuangkan bertentangan dengan prinsip islam itu sendiri. Iaitu idea memperjuangkan kebebasan melebihi batasan syariat Allah. Justeru, penisbahan ini tidak sepatutnya dibiarkan.
Fenomena
Terdapat beberapa faktor utama yang menunjangi kemunculan golongan Islam Liberal. Antaranya ialah:
Cabaran terhadap umat Islam sendiri
Situasi ini telah dibuktikan oleh Rasulullah s.a.w sendiri yang mengingatkan kita tentang fitnah yang berlaku pada akhir zaman. Antaranya berdasarkan kepada riwayat al-Syaikhan dari Huzaifah bin Yaman yang bermaksud: “Aku (Huzaifah) bertanya, ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya kami dahulunya berada dalam jahiliah dan kejahatan maka Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Apakah selepas ini akan ada kejahatan?’ Nabi menjawab, ‘Ya’. Aku bertanya lagi, ‘Apakah selepas kejahatan itu akan datang pula kebaikan?’ Nabi menjawab, ‘Ya, tetapi akan ada bersamanya dakhnun (asap).’ Aku bertanya lagi, ‘Apakah asap itu, ya Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Golongan yang tidak lagi mengikut landasan sunnahku dan mereka tidak menggunakan petunjuk yang aku bawa. Kamu akan mengenali dan mengingkari mereka’. Aku seterusnya bertanya, ‘Apakah selepas kebaikan ini akan ada pula kejahatan?’ Nabi bersabda, ‘Ya, akan datang pendakwah-pendakwah di pintu neraka. Sesiapa yang mengikut mereka akan dicampakkan ke dalamnya.”
Al-`Allamah Syeikh Said Hawa mengaitkan hadis ini dengan zaman kita sekarang. Beliau berkata, “Marhalah dakhnun atau ‘asap’ berterusan hingga ke zaman kita hari ini dan era kita sekarang ialah era lahirnya penyeru-penyeru ke pintu neraka.”(10)
Berdasarkan kepada hadis di atas dan selainnya membuktikan kepada kita bahawa Islam dan umatnya sentiasa dicabar oleh musuh-musuhnya. Ia bukan bermaksud Allah sengaja ingin menyusahkan umat Islam itu sendiri. Sebaliknya, kewujudan musuh membuatkan kita sentiasa berwaspada dalam mengatur langkah agar tidak terperangkap dalam jerangkap mereka. Malahan memberi kesedaran kepada para ulama supaya lebih proaktif dalam memainkan peranan mereka.
Di samping itu, kewujudan cabaran dilihat mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Cabaran sebenarnya penting bagi umat ini kembali merenung kekuatan dan kelemahan mereka. Tanpa cabaran tentunya kita tidak menyedari di mana kedudukan kita yang sebenarnya. Apatah lagi untuk memainkan peranan dan tanggungjawab yang lebih aktif dalam memacu kekuatan dan menerajui pembangunan manusia.
Selain itu, khabar di atas juga menggambarkan kepada kita betapa pandangan Rasulullah s.a.w merentasi masa, tempat dan keadaan. Maka situasi ini menuntut kita untuk berpegang teguh dengan sunnah Baginda s.a.w yang terpancar daripada hidayah Allah.
Usaha pemberatan terhadap umat Islam melalui pengaruh orientalis
Sebenarnya usaha pembaratan bermula semenjak Perang Salib lagi. Mereka mendapati bahawa Umat Islam tidak dapat dikalahkan secara berhadapan selagi mereka berpegang dengan al-Kitab dan al-Sunnah. Akhirnya, satu strategi dilaksanakan bagi memesongkan perhatian umat ini terhadap intisari al-Quran. Lantaran itu mereka mencipta pelbagai terminologi bagi mengelirukan umat Islam. Maka muncullah istilah seperti Islam Tradisional–Modern, Islam Moderate–Fundamentalis, Islam Legalistik, Islam Formalistik Subtantif, Islam Kultural, Islam Inklusif-Eksklusif dan lain-lain lagi.
Selain itu, mereka juga memperkenalkan pemikiran nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, hak asasi manusia, feminisme, kebebasan, globalisasi dan muncul pula Islam Liberal.
Sebenarnya pemikiran liberal di barat berasal dari tradisi pemikiran Yahudi. Buktinya Leonard Binder(11) telah memperincikan beberapa agenda penting dalam bukunya Islamic Liberalisme: A Critique of Development Ideologies. Dalam buku ini beliau menjelaskan bahawa pergerakan Islam liberal perlu didukung dan disebarluaskan berasaskan kepada rational discourse. Gerakan ini digunakan sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Iaitu menjelmakan satu pemerintahan ala Barat bagi sebuah negara sebagai penyambung lidah Yahudi. Buktinya, Leonard menjelaskan: “Liberal government is the product of a continuous process of rational discourse. Political Liberalism in this sense, is indivisible. It will either prevail worldwide, or it will have to be defended by nondiscursive action.”(12)
Selain Leonard, muncul pula Charles Kurzman(13) memperkenalkan istilah dan gerakan baru kepada dunia Islam di dalam bukunya yang berjudul Liberal Islam: A Sourcebook.(14) Buku ini menghimpunkan karya 32 orang penulis dari 19 negara termasuk artikel Nurkholis Madjid yang berjudul “Penyegaran Kembali Pemahaman Keagamaan di Kalangan Umat Islam Indonesia.”(15) Walaupun ditulis dengan gaya pemikiran falsafah moden dan terbuka ia sedikit sebanyak mampu menerapkan liberalisasi pemikiran di kalangan masyarakat.
Di dalam buku ini juga, Charles secara jelas mengatakan bahawa para penulis buku ini kesemuanya berorientasikan fahaman liberal. Di mana secara khususnya mereka menentang kebangkitan Islam secara halus.(16)
Kelemahan pemimpin Islam, kejumudan ulama, dan kejahilan masyarakat
Dalam mengupas faktor ini, penulis mendatangkan contoh Khilafah Uthmaniah sebagai bahan renungan dan teladan buat semua. Sebagai contoh, dasar pembangunan kerajaan Uthmaniah pada abad ke-16 yang lebih berorientasikan pembangunan fizikal dan ketenteraan menyebabkan pengembangan bahasa Arab terabai. Pengabaian ini menyebabkan usaha memahami dan mengkaji Islam secara mendalam terbantut. Banyak ruang pemikiran dan pelaksanaan agenda pembangunan Islam tertutup. Ramai dari pemimpin umat Islam hidup dibuai mimpi indah.
Manakala para alim ulama pula kebanyakannya memfokuskan kepada permasalahan tekstual yang lebih bersifat feqhiyyah. Malah terdapat sebilangan daripada mereka yang selesai dengan kehidupannya tanpa mengambil berat permasalahan umat. Apatah lagi untuk melahirkan idea-idea yang bernas yang dapat disumbangkan bagi pembangunan negara.
Kemajuan tamadun Eropah juga memperlihatkan kemajuan antara abad ke-16 hingga ke-18 Masihi turut menjadi faktor. Situasi ini menyebabkan dunia Islam terpencil. Kerajaan Uthmaniah mula tertarik dengan ‘kejelitaan’ Eropah. Manakala umat Islam pula merasakan ilmu pengetahuan di Eropah perlu diintegrasikan supaya Uthmaniah mendapat standard yang sama. Maka selaras dengan revolusi di Perancis, pada tahun 1816 didapati bahawa sekolah-sekolah di mesir sudah menerima pakai pemikiran-pemikiran Voltaire, Rostow, Montesquieu, dan lain-lain. Maka bermulalah pergeseran tamadun civilisasi dengan Islam. Dan akhirnya memunculkan fahaman nasionalisme yang menggalakkan pembebasan wilayah Uthmaniyyah mengikut identity bangsa masing-masing.
Imperialis barat pula berhasil meletakkan penguasa-penguasa tempatan bagi mengukuhkan cengkaman mereka dalam mengukuhkan penjajahan bentuk moden. Dan inilah hakikat yang berlaku dan terpaksa diterima walau amat pahit untuk ditelan.
Kini, isu kelemahan pemimpin Islam, kejumudan para alim ulama dan kejahilan masyarakat kembali menghantui kita. Ya, ketidakpekaan pemimpin terhadap isu-isu sensitive umat Islam menyebabkan kemasukan idea liberal dan pluralisme dipandang sepi. Kelembapan para ulama untuk bersuara, berhujah dan menjadi penggerak ilmu masyarakat mengakibatkan umat ini berada dalam kegelapan dan ketandusan idea. Apatah lagi untuk mengenal sesuatu aliran pemikiran yang ada. Umat yang lemah hanya menyaring sahaja apa jua pemikiran yang mendatang asalkan dilihat rasional dengan gaya dan keperluan hidup mereka. Justeru, semua pihak harus menyedari hakikat ini. Bahkan meningkatkan keprihatinan dan tanggungjawab yang tinggi dalam mendokong pegangan dan pemahaman yang benar.
Dasar-dasar Pemikiran Islam Liberal
Sebelum kita menerokai dasar-dasar pemikiran Liberal, maka asas umum yang menjadi momentum kepada ideanya perlu diambil kira. Antara gagasan pemikiran Islam Liberal sebagaimana yang dikemukakan Charles Kurzman adalah seperti yang berikut:
a) Syariat liberal, “liberal shari’a” argues that the revelations of the Quran and the practices of the Prophet command Muslims to follow liberal positions;
b) Syariat diam, the “silent shari`a,”holds that coexistence is not required by the shari`a, but is allowed. This trope argues that the shari`a is silent on certain topics-not because divine revelation was incomplete or faulty, but because the revelation intentionally left certain issues for humans to choose;
c) Penafsiran syariat (interpreted shari’a), this third trope suggests that religious diversity is inevitable, not just among religious communities but within Islam itself
Secara ringkas, idea-idea ini dijadikan bahan anjakkan dalam melahirkan beberapa dasar pemikiran Islam Liberal. Antara dasar-dasar pemikiran Islam Liberal adalah seperti yang berikut:
Pluralisme Agama (Kesatuan Agama)
Golongan Islam Liberal berpendapat Islam bukan satu-satunya agama yang benar. Bahkan semua agama di dunia ini adalah sama dan benar berdasarkan kepada konsep keseluruhan. Iaitu semua agama memiliki Tuhan dan menganjurkan kebaikan. Justeru, mereka menganggap masyarakat beragama Islam perlu menerima teologi pluralis dan kefahaman yang menghubungkan semua agama (lintas agama).
Sebagai contoh, Nurkholis Majid berpendapat bahawa pluralisme sesungguhnya adalah sebuah aturan tuhan (sunnatullah) yang tidak akan berubah, sehingga juga tidak mungkin ditentang dan diingkari. Beliau mengibaratkan pluralisme seperti roda, pusat roda itu adalah tuhan dan jarring-jaring adalah simbolik dari perbagai agama.(17) Demikian juga pendapat yang dikemukan oleh Alwi Shihab di dalam bukunya Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka Dalam Beragama. Beliau berpendapat bahawa ayat 62 surah al-Baqarah dan ayat 69 surah al-Ma’idah itu bersifat inklusif bukannya eksklusif untuk umat Islam sahaja. Pendapat ini disokong oleh Abd Rahman Wahid, Djohan Effendi, Arief Budiman dan ramai lagi.
Ulil absar Abdalla pula mengatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju kebenaran. Jadi Islam bukanlah yang paling benar.”(18)
Bertitik tolak daripada fahaman ini, mereka menyimpulkan bahawa semua agama adalah sama. Dengan itu mereka begitu mudah menghalalkan perkahwinan antara penganut yang berbeza agamanya. Mereka mendakwa inilah sebahagian dari hasil ijtihad dan pembaharuan hukum pada dimensi Islam. Paling tuntas, dasar inklusif-pluralis ini sebenarnya menyimpang dari kebenaran. Bahkan mengutamakan kehendak akal dan nafsu semata-mata.
Al-Quran sebagai produk budaya
Penganut Islam Liberal enggan menyebutkan “Allah berfirman” disebabkan mereka mendakwa al-Quran merupakan susunan kata-kata Muhammad atau merupakan karya bersama. Mereka berhujah bahawa teks al-Quran dalam bentuk apapun pada hakikatnya adalah produk budaya. Sebagai contoh, Nasr Hamid Abu Zayd menganggap hukum-hakam di dalam al-Quran hanyalah sesuai dengan sosiobudaya, ekonomi, dan politik masyarakat Arab abad ke-7 sahaja. Oleh itu, adalah tidak sesuai jika ia hendak dipraktikkan tanpa sebarang kajian dan menilai hikmah disebalik penurunan ayat tersebut.(19)
Tidak cukup dengan teori logic di atas, Nasr Hamid Abu Zayd dengan keras mengkritik metodologi ulamak tafsir Ahli Sunnah wal Jamaah. Beliau mendakwa autoriti tafsir bukannya dimiliki oleh mufassirin terdahulu. Bahkan beliau berpendapat bahawa para mufassir telah melakukan satu kesilapan besar kerana menafsirkan sesuatu ayat dengan unsur kenabian dan penurunan wahyu.
Selain itu, muncul pula Hassan Hanafi(20) dari Mesir yang mempelopori pemikiran Islam Berhaluan Kiri. Beliau berpendapat bahawa nas al-Quran adalah dilalah dzanniyyah. Manakala akal merupakan pemutus (al-Qat’iyyah) terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan Ketuhanan, Kenabian dan Hari Akhirat.(21)
Manakala Muhammad Arkoun(22) menggunakan pendekatan sejarah dalam menafsirkan al-Quran. Dan beliau berkeyakinan bahawa sebarang kajian kritis sejarah terhadap al-Quran merupakan satu bentuk ijtihad zaman kini. Lantaran itu, dia telah mengintegrasikan bahan sejarah dari pelbagai agama seperti Hindu, Buddha, Injil Perjanjian Lama dan Injil Perjanjian Baru. Beliau juga berpendapat bahawa al-Quran itu lebih suci ketika berada di peringkat pertama jika dibandingkan dalam bentuk bertulis.(23)
Kritikan dan penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w
Golongan Islam Liberal menganggap bahawa kenabian Rasulullah s.a.w hanyalah menggambarkan kemampuan seseorang manusia yang memimpin kelompok tertentu. Sesiapa sahaja mampu mengambil alih sifat nubuwwah apabila memimpin manusia ke arah kebaikan.(24)
Di samping itu mereka juga menganggap bahawa Rasulullah s.a.w sebagai manusia yang biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan umat ini pula dituduh berpura-pura kerana mempercayai kesempurnaan yang ada pada Baginda s.a.w. Bahkan apabila kita mengikuti teks al-Quran dan al-Sunnah, dianggap sebagai menyembah teks berkenaan dan melupuskan fungsi akal.
Maka tidak hairanlah jika terdapat tokoh-tokoh tertentu di negara kita yang lantang melemparkan kritikan dan penghinaan terhadap Baginda s.a.w. Antaranya mereka menuduh Baginda tidak mencukur janggut kerana dahulunya tida ada pisau cukur. Baginda memakai serban kerana bentuk muka bumi Mekah dan Madinah berpasir. Lebih sadis lagi mereka menuduh Baginda sebagai bernafsu seks yang kuat dengan memiliki ramai gundik. Malah sebahagian mereka menganggap kepimpinan Baginda hanyalah sekadar Pegawai Daerah sahaja. Maka perhatikanlah, alangkah hitamnya hati dan betapa busuknya pula mulut-mulut jahat mereka.
Penafsiran semula agama Islam
Tajdid dan Ijtihad merupakan dua perkara yang saling berkait antara satu sama lain. Sayangnya, ia disalah tafsir oleh golongan Islam Liberal. Hal ini terbukti apabila mereka menganggap bahawa ilmu-ilmu Usul Tafsir, Usul al-Hadis, al-Jarh wa Ta’dil adalah ilmu buatan manusia yang tidak terlepas daripada kesilapan dan kecacatan. Oleh itu, mereka sesekali tidak menggunakan ilmu ini. Bahkan penggunaannya dilihat mampu mengekang tafsiran bebas mereka terhadap Islam.
Golongan ini juga tidak menghormati para ulama Islam. Bagi mereka, ulama hanyalah manusia biasa yang terikat kepada pentafsiran jumud ulama sebelumnya. Para ulama dianggap menyembah teks. Apabila pendapat mereka dilihat bercanggah dengan para ulama, mereka mengatakan bahawa pendapat ulamak boleh diterima dan ditolak. Demikianlah seni putar belit yang hebat yang ditunjukkan oleh penyeleweng zaman moden. Maka berhati-hatilah.
Mentafsir al-Quran secara Hermeunatika
Kaedah pentafsiran al-Quran secara hermeunatika seringkali diuar-uarkan orientalis dan pemikir Muslim moden seperti Aminah Wadud, Farid Esack, Asghar ali Engineer, Hassan Hanafi, Nasr Hamid Abu Zayd, dan lain-lain.
Sebenarnya, hermeunatika merupakan satu kaedah pengkajian prinsip umum yang terdapat dalam Bible. Golongan ini cuba memperkenalkan hermeunatika sebagai kaedah baru bagi merungkai penyembahan teks sekali gus membuka ruang penafsiran yang lebih luas dan bebas mengikut cita rasa mereka. Timbul persoalan, apakah umat Islam memerlukan bantuan hermeunatika dalam memahami tuntutan sebenar al-Quran.
Ternyata, tidak sesekali. Ini kerana metodologi penafsiran al-Quran sebenarnya jelas berdasarkan beberapa faktor seperti kaedah bacaan, sebab-sebab turun ayat, I’rab al-Quran, Gharib al-Quran, mufradaat, I’jaz al-Quran, kelebihan al-Quran dan lain-lain yang berkenaan. Sedangkan kaedah hermeunatika diasaskan kepada tafsiran relatif, disulami sangkaan, keraguan dan pengalaman kehidupan semata-mata. Justeru, bagaimana sesuatu yang kukuh hendak digantikan dengan sesuatu yang lumpuh. Perhatikanlah.
Menilai semua hadis-hadis Rasulullah s.a.w
Golongan ini menganggap bahawa hadis-hadis Rasulullah s.a.w perlu dinilai semula sekalipun ianya tercantum di dalam kitab-kitab sahih. Mereka tanpa segan silu mengatakan bahawa sebahagian besar hadis bukan daripada Nabi s.a.w. Sebaliknya, hanya ciptaan individu tertentu yang jelas mempunyai kepentingan.
Mereka menganggap hadis-hadis mutawattir hanyalah melambangkan sejarah peradaban zaman awal Islam sahaja. Ia tidak sesuai lagi untuk diamalkan pada zaman ini. Masya-Allah.
Selanjutnya, hadis-hadis yang berkaitan dengan al-Sam’iyyat dan al-Ghaibiyyat dianggap sebagai bahan rekaan perawi hadis. Bahkan perkhabaran ini dianggap sebagai cerita-cerita rekaan berunsur tahayul dan mistik belaka.(25)
Menilai semula hukum feqah
Aliran ini mempunyai kaedah yang tersendiri dalam menilai hukum feqah. Iaitu apa yang diambil adalah tujuan hukum iaitu maslahat bukannya bentuk hukum berkenaan. Justeru, ketentuan hukum boleh diubah berdasarkan maslahat manusia.
Sebagai contoh, pembahagian harta faraid boleh diubahsuai mengikut keadilan ahli waris, hak suami menjatuhkan talak boleh dilupuskan dan kes-kes perceraian hanya boleh diputuskan hakim mahkamah biasa, poligami dilarang, wanita diberikan hak samarata dalam persaksian jenayah, kes hudud boleh diubahsuai mengikut peradaban zaman, arak tidak haram jika tidak memabukkan, masa ibadat seperti solat, haji dan puasa boleh diubahsuai mengikut keperluan individu dan menutup aurat hanyalah peradaban pada zaman awal Islam sahaja.
Selain isu-isu yang difokus di atas, golongan ini juga turut memperjuangkan isu kesetaraan gender dan feminisme. Sebenarnya, banyak lagi isu agama yang telah, sedang, dan akan diketengahkan mereka. Dan kita melihat 11 tuntutan yang yang dikemukakan oleh IFC sebenarnya didalangi oleh golongan Islam Liberal. Dan sebahagian daripada pemimpin kita memberi sokongan kepada perjuangan mereka. Situasi ini sebenarnya amat melukai hati kita. Maka, sedar dan bangkitlah wahai pencinta agama Allah!
Justeru, kita perlu melipatgandakan usaha untuk menangkis idea-idea yang gila ini daripada mempengaruhi masyarakat dan anak-anak cucu kita. Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita untuk membongkar setiap inci penyelewengan mereka.
KESIMPULAN
Setelah kita memahami dan menhayati dasar-dasar pemikiran golongan ini, maka jelaslah kepada kita bahawa aliran ini memberi ancaman yang besar terhadap ketulinan agama islam itu sendiri. Antaranya ialah:
5.1 Aliran pemikiran Islam Liberal merupakan produk barat yang jelas bertentangan dengan prinsip akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bahkan boleh menjadikan seseorang itu sesat, dan terkeluar dari agama Islam. Maka tidak hairanlah jika Panel Kajian Syariah JAKIM dan Muzakarah Ulama Ipoh 2006 mengklasifikasikan fahaman ini sebagai sesat dan menyesatkan.
5.2 Pemikiran Liberal ternyata menyumbang kepada perpecahan umat Islam sesebuah Negara. Bahkan meragut kesucian akidah umat Islam sedikit demi sedikit sebagaimana yang berlaku di Indonesia. Lantaran itu Majlis Ulama Islam (MUI) telah memfatwakan pengharaman pemikiran Islam Liberal pada 25 Julai 2005.
5.3 Kehadiran Muslim Liberal memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuh Islam bagi menyuntik perancangan jahat mereka untuk melemahkan umat Islam supaya umatnya drop-out dari arus perdana. Dan tidak syak lagi bahawa kemunculan IFC yang mempertikai keistimewaan Islam sebagai agama rasmi adalah hasil anjakan pemikiran Liberalisme.
5.4 Kehadiran Muslim Liberal juga sebenarnya satu usaha menghidupkan watak-watak munafik zaman awal islam untuk disesuaikan dengan peradaban zaman kini. Maka berwaspadalah dengan tokoh-tokoh munafik moden ini.
5.5 Pihak berwajib seperti JAKIM, Kerajaan Negeri, JAIN, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, NGO Islam, cendekiawan Islam dan masyarakat perlu bergabung tenaga dalam usaha menangkis dan membongkar penyelewengan golongan Islam Liberal. Bahkan tindakan bersepadu dan menyeluruh perlu diambil bagi menyekat penularannya walau telah difatwakan haram
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
hgshj
BalasPadam