Khamis, 26 Ogos 2010

DARI BLOG TUN DR MAHATHIR................



ADAKAH MERITOKRASI BERSIFAT PERKAUMAN?

1. Pada tahun 1964, Malaysia telah mengadakan pilihanraya umum yang pertama. Tunku dan Ketua Menteri Singapura Lee Kwan Yew bersetuju supaya PAP (Parti Tindakan Rakyat - People's Action Party pimpinan Kwan Yew) hanya bertanding di Singapura dan tidak di mana-mana kawasan di Semenanjung Malaysia. Ianya bukanlah satu perjanjian yang bijak. Tidak pun dimeterai secara rasmi. Hanya persefahaman di antara dua orang pemimpin.

2. Tidak mengejutkan PAP kemudiannya memutus untuk bertanding di Semenanjung. Lee menjangkakan yang kaum Cina Malaysia yang diwakili di dalam Kerajaan oleh parti MCA dapat di galakkan untuk menyokong beliau. Jika MCA Berjaya dikalahkan, Lee percaya Tunku akan gantikan MCA dengan PAP di dalam Perikatan.

3. PAP ialah sebuah parti yang didominasi kaum Cina. Tetapi ia sentiasa mengetengahkan ianya sebagai parti yang tidak berlandaskan kaum. Untuk menang di Malaysia dianya mesti menarik sokongan chauvinis Cina. Ini tidak dapat dilakukan secara terbuka.

4. Sebagai ahli politik yang cekap, Lee memperkenalkan slogan yang tidak terlalu berbaur chauvinis tetapi tetap menyemarakkan sentimen Cina. Slogan tersebut ialah "Malaysian Malaysia".

5. Sementara ianya ternampak menarik bagi semua rakyat Malaysia, slogan tersebut sebenarnya menarik perhatian kepada tidak adanya kesamarataan antara kaum Cina dan kaum Melayu. Dia dan partinya diketengahkan sebagai memperjuangkan kesamarataan antara Cina dan Melayu, manakala MCA hanya mewakili golongan towkay Cina.

6. Orang Melayu berasa cemas akan kemungkinan penyatuan kaum Cina di Singapura, Sabah dan Sarawak akan menyebabkan orang Melayu menjadi kaum minoriti. Perpecahan di antara PAS dan UMNO menyebabkan peluang orang Melayu untuk terus mendominasi politik di Malaysia menghadapi risiko.

7. Yang anehnya PAP gagal dalam cubaannya menentang MCA. Tetapi Tunku amat terkejut dan memutuskan yang penyertaan Singapura di dalam Malaysia membawa bahaya. Setahun selepas pilihanraya, Singapura disingkir. Tetapi legasi chauvinis PAP ini diteruskan oleh DAP. Slogan "Malaysian Malaysia" terus dimainkan di dalam politik Malaysia, dan berubah menjadi satu perkataan yang baru, "Meritokrasi". Jika "Malaysian Malaysia" membawa makna kesamarataan antara kaum, "Meritokrasi" membawa maksud yang lebih keras. Ianya bererti dominasi oleh sesuatu kaum yang mempunyai merit di dalam setiap lapangan; di dalam pendidikan, perniagaan dan semua lapangan yang diceburi manusia.

8. Apabila orang Melayu, memahami akan akibatnya, mula menentang meritokrasi, mereka dicerca sebagai bersifat perkauman. Kerana tidak mahu dilabel sedemikian, ramai orang Melayu tidak berani menyokong Dasar Ekonomi Baru. Ada sesetengah, mungkin kerana sikap bodoh sombong, mula menyokong meritokrasi dan menekan lagi kedudukan orang Melayu.

9. Hari ini kita lihat banyak NGO Melayu bangkit mempertahankan kedudukan orang Melayu. Dan semestinya mereka ini dilabel sebagai bersifat perkauman. Malang sekali, sebenarnya yang melabel mereka ini juga bersifat perkauman kerana sokongan mereka terhadap meritokrasi.

10. Sama juga dengan parti politik yang meraih sokongan menggunakan agama Islam. Di Malaysia, orang Melayu kesemuanya beragama Islam. Terdapat juga sebilangan besar kaum India Muslim di Malaysia tetapi mereka ini tidak berperanan dalam parti politik yang dikatakan parti Islam ini. Dengan mengguna Islam, parti ini sedar yang ianya hanya untuk menarik secara eksklusif sokongan orang Melayu. Niat mereka hanya untuk meraih sokongan orang Melayu dan bukan untuk mempertahan kedudukan orang Melayu. Mereka ini boleh dikatakan bukan bersifat perkauman pro-Melayu. Tetapi mereka mengambil kesempatan politik ke atas orang Melayu.

11. Itulah juga sebab kenapa mereka tidak punyai masalah menukar taktik untuk menarik sokongan bukan Melayu. Jika dulu mereka mencerca UMNO berkerjasama dengan bukan Islam, hari ini kerjasama mereka dengan bukan Islam tiada batasan.

12. Perbezaan di antara UMNO dan lain-lain parti ialah UMNO secara terang menyebelahi sesuatu pihak, tidak menyembunyi akan perjuangannya untuk kebajikan orang Melayu. Malangnya kerana kelemahan urusan pentadbiran ianya menjadi lemah. Sebab itulah hari ini ada Perkasa dan lain-lain NGO Melayu yang secara terbuka memperjuangkan nasib Melayu sebagaimana UMNO terdahulu. Pencercaan oleh golongan menyokong meritokrasi ialah kerana mereka melihat NGO Melayu bersifat perkauman, sebagaimana orang Melayu pada tahun 1964 melihat sifat perkauman dalam "Malaysian Malaysia".

13. Yang kita lihat hari ini bukanlah kempen menentang sifat perkauman tetapi kempen oleh pejuang perkauman menentang pejuang perkauman yang lain. Penyokong meritokrasi juga bersifat perkauman sebagaimana NGO Melayu dan Perkasa.

14. Sehubungan itu saya juga akan dicerca sebagai bersifat perkauman oleh pejuang meritokrasi yang bersifat perkauman. Biarkan.

1 ulasan: